Wednesday 13 March 2013

THESIS AMALAN SALAM

BAB 1

PENGENALAN
1.1.PENDAHULUAN
Amalan salam dalam kehidupun seharian amatlah rendah diamalkan  oleh orang Islam di seluruh dunia, khususnya negara kita sendiri, iaitu Malaysia. Sebenarnya jika kita telusuri bermula dari amalan ataupun sunnah Rasullullah yang kecil inilah mampu membentuk satu ummah yang kuat dari segi mental dan fizikal. Kebanyakan orang Islam sekarang banyak menggunakan istilah-istilah lain bagi menggantikan kalimat salam yang dianjurkan oleh Islam, sebagai contoh yang popular digunakan ialah perkataan hello, hi. Dan keadaan bertambah malang apabila segelintir anak remaja masa kini tidak lagi menggunakkan istilah-istilah yang baik apabila bertemu dengan rakan-rakan mereka, seperti perkataan yang kurang sopan ataupun memanggil dengan gelaran yang buruk.
            Amalan salam sebenarnya mempunyai keajaiban dan keunikan yang tersendiri. Ia mampu mewujudkan perasaan kasih dan sayang dalam sesuatu hubungan. Sayang merupakan tiang utama dalam pembentukan sesuatu hubungan yang baik antara manusia. Salam dalam Islam bukan sahaja diukur dari luaran tetapi ia merupakan ketulusan yang lahir dari rasa cinta, sayang, doa, harapan, sukacita, motivasi, penghargaan, penghormatan dan merupakan simbol kepada ikatan hati yang suci.
            Penulis merasakan amalan salam begitu penting adalah kerana salam merupakan salah satu dari bentuk pemberian motivasi yang sangat bermakna dalam hubungan kekeluargaan, persahabatan dan sebagainya. 
            Penulis yakin dengan tersebar luasnya sunnah nabi Muhammad s.a.w.  iaitu salam, maka akan terbinanya masyarakat muslim yang saling mencintai kerana agama, dan seterusnya mewujudkan negara Islam .

1.2.LATAR BELAKANG MASALAH KAJIAN
Amalan salam merupakan salah satu dari sunnah nabi Muhammad s.a.w, dan merupakan salah satu daripada  komunikasi yang dianjurkan oleh Islam. Persoalannya, sejauh manakah masyarakat umat Islam hari ini betul-betul mengetahui dan memahami cara komunikasi dalam Islam serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
            Kebanyakan daripada  masyarakat hari ini tidak mempraktikkannya dalam kehidupan seharian, mereka lebih selesa menggunakan istilah-istilah barat, seperti hi, hello. Sedangkan jika ditelusuri kalimah salam itu sendiri membawa maksud sejahtera, mendoakan kebaikan antara satu sama lain. Ramai yang lebih selesa dengan meniru budaya barat. Salah satu faktor yang menyebabkan orang Islam lari dari mengamalkan sunnah nabi Muhammad s.a.w itu sendiri adalah kerana semakin pesatnya teknologi, semakin pesat juga perkembangan media massa. Pemesatan dunia elektronik memberi impak yang amat besar dalam jiwa masyarakat Islam hari ini. Sebagai contohnya, masyarakat didedahkan dengan cerita-cerita yang mengagungkan barat, masyarakat yang mementingkan cara hidup sekular,  tidak mementingkan nilai-nilai agama Islam itu sendiri. Bahkan golongan-golongan mereka inilah yang mengaibkan Islam, mempengaruhi pemikiran anak-anak muda hari ini. Imam Syafie berkata bahawa jika ingin melihat Islam, maka lihatlah pemuda pada hari ni. Ini menunjukkan pemuda merupakan asas kepada pembangunan negara yang mengamalkan amal Islam sepenuhnya.
            Ini adalah realiti umat Islam pada hari ini yang mengambil budaya barat sebagai cara hidup. Bahkan sepatutnya umat Islam mestilah menjadi contoh kepada penganut lain.
Justeru berdasarkan kepada keadaan ini, penulis berminat untuk mengkaji amalan salam dalam kalangan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (SMKA TAHAP). Sepertimana yang kita ketahui tidak semua orang mempunyai latar belakang keluarga yang sama, termasuklah pelajar pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (SMKA TAHAP). Tidak semua dari mereka berasal dari keluarga yang mengamalkan Islam secara menyeluruh. Justeru, hal ini boleh mengetahui tahap pemahaman pelajar tingkatan lima akan konsep sebenar amalan salam.

BAB  2
AMALAN SALAM
2.1.      KEUTAMAAN SALAM
Ucapan salam merupakan ucapan yang dianjurkan oleh Islam. Terdapat banyak hadis-hadis yang membahaskan mengenai keutamaan memberi salam, yakni menyebarkannya. Sebagai orang Islam marilah kita sama-sama  mengamalkan amalan yang mulia ini. Antara bukti-bukti yang menunjukkan amalan salam adalah amalan yang penting,  seperti mana yang telah diriwayatkan daripada Abdullah bin Amir Al-Ash r.a :
عن عبد الله بن عمرو رضى الله عنهما  أن رجلا سأل النبى صلى الله عليه وسلم ،  أى الإسلام خير؟  قال : تطعم الطعام ، وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف .
Maksudnya :“Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w . “Apakah amalan Islam yang lebih baik”? Baginda menjawab: “Kamu memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan kepada  yang tidak engkau kenal.”[5]

Selain itu juga diriwayatkan daripada Al-Barra bin Azib :
عن البراء رضي الله عنه ، قال  : أمرنا النبي صلى الله عليه و سلم بسبع ونهانا عن سبع أمرنا باتباع الجنائز وعيادة المريض وإجابة الداعي ونصر المظلوم وإبرار القسم ورد السلام وتشميت العاطس . ونهانا عن آنية الفضة وخاتم الذهب والحرير والديباج والقسي والإستبرق.

Maksudnya : “Rasulullah s.a.w memerintahkan kepada kami mengerjakan tujuh perkara dan melarang kami mengerjakan tujuh perkara. Baginda memerintahkan kami   menghantar jenazah, menziarahi orang yang sakit, menghadiri undangan, menepati janji , membalas salam dan  menjawab orang yang bersin (dengan mengatakan yarhammukallah [semoga Allah mengasihimu]; sedangkan jawapan bagi orang yang bersin adalah Alhamdulillah (segala puji bagi Allah). Dan melarang kami memakai perkakas dari perak, cincin emas, sutera,  dibaj (kain sutera murni), qassi dan istibraq (dua jenis kain sutera )”[6]



2.2.      HUKUM BERKAITAN SALAM
2.2.1.   Hukum memberi salam[7]
Hukum memulai salam adalah sunat kifayah. Jika yang memberi salam terdiri daripada sekumpulan jemaah, maka cukuplah seorang sahaja yang memberi salam, tetapi sekiranya semua memberi salam  adalah lebih baik.
2.2.2.   Hukum memulai salam sebelum perbicaraan
Hukum memulai salam sebelum perbicaraan adalah harus. Diriwayatkan di dalam Kitab Sahih Muslim bahawa Rasulullah s.a.w  bersabda bahawa:
عن أبى أيوب الأنصارى أن رسول اللّه صلى الله عليه وسلم ، قال : لا يحل لمسلم أن يهجر أخاه فوق ثلاث ليال يلتقيان فيعرض هذا ويعرض هذا وخيرهما الذى يبدأ بالسلام.
Maksudnya : “Seorang muslim tidak boleh memutuskan hubungan dengan saudaranya sesama muslim lebih dari tiga malam. Jika bertemu keduanya saling berpaling, dan yang lebih baik daripada mereka adalah yang memulai salam.”[8]

Diriwayatkan melalui Abu Umamah di dalam Sunan Abi Daud bahawa :
عن أبى أمامه قيل: يا رسول الله، الرجل يلتقيان أيهما يبدأ بالسلام؟ ، قال: أولاهم باالله تعالى.

Maksudnya : Ditanyakan, “Wahai Rasulullah, ada dua orang lelaki yang saling bertemu “Siapakah yang paling dahulu memulai salam diantara keduanya?” Baginda s.a.w menjawab, “Orang yang paling utama dari keduanya menurut Allah S.W.T.”[9]

2.2.3.   Memberi dan menjawab salam [10]
2.2.3.1.   Memberi dan menjawab salam orang fasik
Sekiranya lelaki muslim yang tidak jelas kefasikkannya maka dibolehkan  memberi salam kepadanya dan menjawab salam daripadanya. Disunatkan baginya memberi salam dan wajib menjawab salamnya.
2.2.3.2.   Memberi dan menjawab salam lelaki dan perempuan
Menurut Imam Abu Sa’d Mutawalli[11], sekiranya wanita memberi salam kepada lelaki dan wanita berkenaan adalah isteri atau hambanya atau  mahramnya, maka kedudukannya adalah sama dengan seperti mana lelaki memberi salam kepada  lelaki lain. Maka  kedua-dua belah pihak disunatkan memberi salam dan diwajibkan menjawab salam.
Lelaki tidak boleh mengucapkan salam kepada  wanita yang cantik kerana  dikhuatiri menimbulkan fitnah. Sekiranya lelaki memberi salam kepadanya, maka perempuan tidak dibenarkan menjawabnya. Begitu juga perempuan tidak dibenarkan memulakan salam  kepada lelaki. Jika wanita tersebut terpaksa memberi salam, maka dia tidak berhak mendapat jawapan salam berkenaan. Hukum menjawabnya bagi lelaki adalah makruh.
Jika wanita berkenaan telah  berumur dan tidak menimbulkan fitnah, maka dia boleh mengucapkan salam dan lelaki harus menjawabnya. Apabila wanita itu ramai dan seorang  lelaki mengucapkan salam kepada mereka atau lelaki yang ramai mengucapkan salam kepada seorang wanita, hal ini dibolehkan sekiranya tidak menimbulkan fitnah.
Didalam Kitab Musannaf diriwayatkan melalui Asma binti Yazid r.a yang menceritakan bahawa:
عن أسما بنت يزيد رضى الله عنهما ، قالت: مر علينا رسول الله فى نسوة  فسلم علينا.
Maksudnya : “Rasulullah s.a.w melintasi kami, pada saat itu kami berada dalam kumpulan kaum wanita, lalu baginda mengucapkan salam kepada kami.”[12]

Hadis ini menyokong hujah bahawa boleh seorang lelaki boleh  memberikan salam kepada sekelompok perempuan.

2.2.4.   Orang yang tidak boleh diberi salam dan dijawab salamnya
Antara orang yang tidak boleh diberi salam dan dijawab salamnya adalah ahli bid’ah dan orang yang melakukan dosa besar dan belum bertaubat kepada Allah s.w.t. Di dalam Kitab Sahih Bukhari diceritakan mengenai kisah Kaab ibnu  Malik yang tidak menyertai peperangan Tabuk. Kaab menceritakan:
قال و نهي رسول الله عن كلمنا ، قال وكنت اتى رسولله  فـأسلم عليه،  فأقول: حرك شفته برد السلام أم لا ؟ ...
Maksudnya : “Rasulullah s.a.w telah melarang berbicara dengan kami. Kaab melanjutkan kisahnya, “Aku datang kepada Rasulullah s.a.w lalu mengucapkan salam kepadanya, aku katakan (kepada diriku sendiri) “Apakah baginda menggerakkan kedua bibirnya menjawab salamku atau tidak? Hingga akhir hadis.”[13]

Selain itu juga kita ditengah untuk memberi dan menjawab salam daripada orang yang minum arak , Imam Bukhari menceritakan bahawa Abdullah Ibnu Amir pernah mengatakan :
وقال عبدالله بن عمرو: لا تسلم على شربة الخمر.
Maksudnya : “Janganlah kamu memberi salam kepada orang yang gemar minum arak.”[14]

Sekiranya dalam keadaan terpaksa,  maka hukumnya harus memberi salam kepada orang zalim kerana ditakuti akan menyebabkan membahayakan diri dan  agamanya atau urusan dunia.
2.2.5.   Memberi  dan menerima salam kafir zimmi
Jika orang kafir zimmi mengucapkan salam kepada orang Islam, maka hendaklah dijawab dengan lafaz wa’alaikum. Diriwayatkan dalam Kitab Sahih  Muslim melalui Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah bersabda:
 عن أنس رضى الله عنهما ان رسول الله قال، قال رسول الله :إذا سلم عليكم أهل الكتاب فقولوا: وعليكم.
Maksudnya : “Apabila ahli kitab mengucapkan salam kepada kamu, maka ucapkanlah “Wa’alaikum.”[15]

Menurut  Al-Qadhi Mawardi[16]  berpendapat  dibolehkan memberi  salam kepada mereka )ahli kitab), dengan menggunakan  kalimah  assalamu’alaika denagn syarat tidak dalam bentuk jamak.
 Manakala Al-Mawardi[17] berpendapat mengatakan bahawa dibenarkan menjawab salam  “wa’ alaikumussalaam”  tetapi tidak menggunakan lafaz ‘warahmatullaahi’.



Di dalam Kitab Sahih Muslim melalui Abu  Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

عن أبى هريرة رضى الله عنه أن رسول الله قال: لاتبدأوا اليهود ولا النصارى بالسلام فإذا لقيتم أحدهم فى طريق فاضطروه إلى اضيفه.
Maksudnya :“Janganlah kamu memulai salam kepada orang-orang Yahudi, jangan pula  kepada orang-orang  Nasrani. Apabila kamu bersua dengan mereka seorang diri , maka desaklah dia ketempat yang paling sempit.”[18]

Di dalam kitab Muwaththa’[19]  karangan Imam Malik bahawa Imam Malik pernah ditanya mengenai seseorang yang mengucapkan salam kepada orang Yahudi atau Nasrani:
قال يحيى و سئل مالك عمن سلم على اليهودي أو النصراني هل يستقيله ذلك فقال لا.
Maksudnya :, “Apakah ia harus mencabutnya kembali?” Imam Malik menjawab, “Tidak”.

Abu Sa’d[20] mengatakan sekiranya seseorang ingin mengucapkan ucapan selamat kepada kafir zimmi, hendaklah menggunakan lafaz seperti, “Semoga pagi harimu bahagia,”  atau  “Semoga pagi harimu sihat” atau kalimah–kalimah yang seumpama dengannya.

2.2.6.   Mengucapkan salam kepada jemaah yang terdiri daripada orang Islam dan orang Kafir
Apabila seseorang melalui satu kumpulan yang terdiri daripada muslim dan orang kafir, maka disunatkan memberi salam kepada orang Islam.
Diriwayatkan dalam Kitab Sahih Muslim  melalui Usamah ibnu Zaid r.a:
عن أسمة بن زيد رضى الله عنه : أن النبي رسول الله مر على مجلس فيه أخلاط من المسلمين والمشركين عبدة الأوثان واليهود، فسلم عليهم النبى صلى الله عليه وسلم.
Maksudnya :“Nabi s.a.w melintasi suatu majlis yang didalamnya terdapat campuran orang muslim dan orang Musyrik  para penyembah berhala serta Yahudi, maka Nabi s.a.w mengucapkan salam kepada mereka.”[21]

2.2.7.   Sunat mengulangi salam      
Disunatkan mengulangi salam apabila bertemu dengan orang lain.  Diriwayatkan dalam Kitab Sahih Muslim melalui Abu Hurairah r.a dalam hadis mengenai orang yang tidak sah solatnya.
عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه و سلم دخل المسجد، فدخل رجل فصلى. ثم جاء فسلم على رسول الله صلى الله عليه وسلم فرد رسول الله صلى الله عليه وسلم السلام، قال ارجع فصل فإنك لم تصل فرجع الرجل فصلى كما كان صلى. ثم جاء إلى النبي صلى الله عليه وسلم فسلم عليه فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم وعليك السلام ثم قال ارجع فصل فإنك لم تصل حتى فعل ذلك ثلاث مرات.

Maksudnya : “Bahawa lelaki itu telah datang, kemudian solat. Setelah itu dia datang menghadap Rasulullah s.a.w, lalu mengucapkan salam kepada baginda, dan Rasul s.a.w menjawab salamnya. Rasul s.a.w bersabda, kembalilah dan solatlah, sesungguhnya engkau belum solat.” Lalu lelaki itu kembali dan melakukan solat. Setelah itu dia datang dan mengucapkan salam kepada  Nabi s.a.w hingga hal tersebut dilakukan sebanyak tiga kali.”[22]

2.2.8.   Sunat mengulang-ngulang perkataan dan salam
Diriwayatkan di dalam Kitab Sahih Bukhari melalui Anas r.a. dari nabi s.a.w:
عن أنس عن النبى  صلى الله عليه وسلم  أنه كان إذا تكلم بكلمة أعادها ثلاثا حتى تفهم عنه ، وإذا أتى على قوم ، فسلم عليهم سلم عليهم ثلاثا.
Maksudnya : “Nabi s.a.w apabila mengucapkan suatu kata, baginda mengulanginya sebanyak tiga kali hingga dapat difahami. Dan apabila mendatangi sesuatu kaum, maka beliau mengucapkan salam penghormatan kepada mereka yang hal itu baginda lakukan sebanyak tiga kali.”[23]

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah akan mengulangi setiap perkataan yang baginda sebutkan supaya difahami. Begitu juga dengan lafaz salam, baginda akan mengulangi lafaz berkenaan sebanyak tiga kali.
2.2.9.   Menjawab salam secara spontan    
Di dalam kitab al-Azkar[24],  Imam Abu Muhammad al-Qadhi Husain dan Imam Abul Hasan al-Wahidi berkata:  “Bahawa menjawab salam mestilah  dengan segera. Sekiranya tidak dijawab dengan segera pelakunya berdosa.

2.2.10. Sunat berjabat tangan disertai  muka yang berseri-seri
Disunatkan apabila berjabat tangan dengan mempamerkan muka yang berseri-seri, mendoakan kebaikan, dan memohon ampun.
Diriwayatkan didalam Kitab Sahih Muslim melalui Abu Zar r.a. menceritakan bahawa :
عن أبي ذر رضى الله عنه قال ، قال لى رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا تحقرن من المعروف شيأ ، ولو أن تلقى أخاك بوجه طاليق.
Maksudnya : Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepadaku, “Janganlah engkau meremehkan perkara kebajikan walaupun sedikit , sekalipun sekiranya anda bertemu dengan saudara anda dengan muka yang berseri-seri.”[25]

2.2.11. Keadaan yang dimakruhkan memberi salam[26]
Antara keadaan –keadaan yang dimakruhkan memberi salam adalah kepada orang yang sedang membuang air kecil, sedang bersetubuh, mandi, orang yang sedang tidur, mengantuk, mengejarkan solat, sedang melaungkan azan atau iqamah, maka semua hal-hal berkenaan  tidak berhak mendapat jawapan salam. Selain itu juga keadaan yang boleh menyebabkan makruh memberi salam adalah sekiranya seseorang memberi salam kepada orang yang sedang makan dan suapannya berada dalam mulut (sedang mengunyah). Maka, si pemberi salam  tidak berhak mendapat jawapan salam. Namun sekiranya, salam yang diberi itu kepada orang yang sedang makan, sedangkan makanan tidak berada dalam mulut, maka salam tersebut wajib dijawab.
Begitu juga dalam  jual beli, wajib menjawab salam yang diberikan. Manakala makruh sekiranya memberi  salam  kepada khatib yang sedang memberi khutbah Jumaat kerana jemaah mestilah mendengar dengan senyap. Bagaimana sekiranya terdapat orang yang memberi salam ketika khutbah? Terdapat perselisihan pendapat mengenai keperluan untuk menjawab salam. Ada yang berkata tidak wajib jawab atas sebab kecuaian. Pendapat yang kedua adalah sekiranya kita menganggap mendengar khutbah adalah perkara wajib, maka salamnya tidak perlu dijawab. Manakala ada yang mengatakan bahawa, jika kita menganggap mendengar khutbah adalah perkara sunat, maka salah seorang dari hadirin hendaklah menjawab salam berkenaan, tetapi tidak boleh lebih dari satu orang yang menjawab dengan atas alasan apa pun. Imam Syafie[27] berpendapat bahawa  tidak menyukai sekiranya seseorang membicarakan perkara yang tidak penting ketika khutbah sedang dijalankan.
Bagaimana pula dengan perihal memberi salam kepada orang yang sedang membaca Al-Quran. Menurut Imam Abul Hassan al-Wahidi [28] mengatakan adalah yang lebih utama tidak memberikan salam kepada orang yang sedang sibuk membaca Al-Quran. Jika terdapat orang yang memberi salam kepada orang yang sedang membaca Al-Quran , maka cukup bagi orang yang membaca Al-Quran menjawab dengan isyarat. Jika ia menjawab salam berkenaan dengan lafaz, maka harus baginya memulai bacaan dengan isti’azah, kemudian menyambung bacaan berkenaan. Manakala menurut pendapat yang lebih kuat bahawa seseorang boleh mengucapkan salam dan wajib menjawab dengan lafaz.
Manakala, sekiranya seseorang menjawab salam ketika solat, maka batallah solatnya. Namun sekiranya dia tidak mengetahui akan pengharamannya, maka tidak terbatal solatnya. Menurut pendapat yang paling sahih, iaitu bahawa sekiranya ia mengucapkan “alaihissalaam”  dengan lafaz ghaibah (sembunyi) solatnya tidak batal kerana bukan khitbah. Maka disunatkan menjawab dengan isyarat ketika berada dalam solat tetapi tidak boleh dengan lafaz. Sekiranya dia ingin menjawab dengan lafaz, maka jawablah  setelah selesai solat.
 Bagi orang sedang azan pula, makruh baginya untuk menjawab salam kerana hal ini akan boleh merosakkan azannya .
2.2.12. Hukum menjawab salam
Apabila salam diberikan  kepada seorang sahaja , maka si penerima wajib  untuk menjawab salam.
Manakala apabila seseorang  memberi salam kepada  kelompok yang ramai, maka menjawab salam adalah fardu kifayah keatas mereka. Dengan kata lain bahawa, sekiranya  salah seorang dari mereka telah menjawab, maka gugurlah dosa  bagi yang lainnya. Sekiranya, semua dari mereka tidak mahu menjawab salam, maka semua dari mereka berdosa. Manakala, sekiranya semua dari mereka menjawab salam, maka itu lebih baik.

Diriwayatkan dalam Kitab Sunan Abu Daud  daripada Ali k.r.w , bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda bahawa:
عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ، يجرئ عن الجمعاعة إذا مروا أن يسلم أحدهم ويجزئ عن الجلوس أن يرد احدهم.
Maksudnya :“Memadai sebagai ganti dari Jemaah, apabila lalu seseorang dari mereka mengucapkan salam, dan memadai sebagai ganti dari orang-orang yang duduk bila seseorang dari mereka menjawab salam.”[29]

2.3.      ADAB DAN TATACARA SALAM
2.3.1.   Adab memanggil orang dibalik tirai atau dinding
Menurut Imam Abu Sa’d al-Mutawalli dalam kitab al-Azkar[30], “Apabila seseorang memanggil dari balik tirai atau dinding, hendaklah dia mengucapkan, “Semoga keselamatan keatas engkau, wahai si Fulan.” (menjawab salam yang diberikan). Begitu juga dengan keadaan dimana seseorang menulis sepucuk surat yang dalamnya disebutkan, “Semoga keselamatan keatas engkau , wahai si Fulan.”  Sekiranya si penerima menerima surat berkenaan, maka si penerima wajib menjawabnya. Pendapat ini juga disokong oleh al-Wahidi, yakni wajib menjawab salam bagi orang yang menerima surat berkenaan.
Diriwayatkan dalam Kitab Sahih Bukhari melalui Aisyah r.a bahawa:
عن عائشة  رضى الله عنها  أن النبى  صلى الله عليه وسلم  قال لها: يا عائشة ، هذا جبريل يقرأ عليك السلام  . فقالت: وعليه السلام ورحمة الله وبركاته ، ترى ما لا أرى . تريد النبى  صلى الله عليه وسلم .
Maksudnya : “Wahai Aisyah! Ini adalah Jibril menyampaikan  salam buat kamu.” Aisyah r.a berkata, “Salamku pula untuknya , dan semoga  Allah melimpahkan rahmat Allah kasih dan anugerahNya  padanya”. Kemudian Aisyah melihat kearah nabi s.a.w dan berkata , “ Engkau melihat apa yang tidak dapat kulihat. ”[31]

2.3.2.   Cara memberi salam kepada orang musyrik yang ditulis dalam surat
Apabila seseorang menulis surat kepada orang kafir musyrik. Dalam Kitab Sahih Muslim melalui hadis Abu Sufian r.a mengenai kisah Hercules, bahawa Rasulullah telah menghantar surat kepada beliau .
أبي سفين رضى الله عنه في قصة هرقل : أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كتب : من محمد عبد الله ورسوله ،  إلى هرقل عظيم الروم ، سلام على من اتبع الهدى.
Maksudnya : “Dari Muhammad, hamba dan Rasul  Allah; kepada Hercules, pembesar Romawi, semoga keselamatan terlimpah kepada orang yang mengikuti petunjuk.”[32]

2.3.3.   Meninggikan ucapan salam[33]
Hendaklah seseorang yang memberi salam meninggikan suara ketika memberi salam agar dapat didengari  oleh orang yang diberi salam. Jika salam yang diberikan itu tidak dapat didengari oleh orang yang mendengar salam, maka salam berkenaan tidak wajib dijawab. Sekiranya orang yang memberi salam itu meragui akan dengarnya salam kepada  pendengar, si pemberi salam disunatkan mengeraskan suara salam tersebut agar dapat didengari oleh pendengar.
Jika seseorang memberi salam di satu tempat yang terdiri daripada orang yang sedang berjaga dan terdapat juga orang yang sedang tidur, maka menurut tuntutan sunnah hendaklah  merendahkan suara dan hanya didengari oleh orang yang berjaga, dan tidak pula membangunkan orang yang sedang tidur.
 Dalam Kitab Sahih Muslim melalui hadis al-Miqdad  disebutkan:
قال:  كنا نرفع للنبى نصيبه من اللبن، من فسلم تسلما لا يوقظ نائما الليقظان: وجعل لا يجئنى النوم وإما صاحب فناما فجاء النبى فسلم كما كان يسلم.
 Maksudnya :“Kami biasa mengasingkan laban yang khusus bagi Nabi Muhammad s.a.w  datang di malam hari, lalu mengucapkan salam dengan ucapan yang tidak membangunkan orang yang tidur, tetapi dapat didengar oleh yang berjaga. “Pada suatu malam aku tidak dapat tidur, sedangkan kedua temanku tidur nyenyak, maka datanglah Nabi s.a.w, lalu ;mengucapkan salam biasanya (dengan suara yang tidak keras).”[34]

2.3.4.   Ucapan ketika menziarahi kafir zimmi      
Sesetengah ulama berselisihan pendapat mengenainya, ada yang berpendapat sunnat, dan sesetengah menengahnya.
As-Syasyi[35] berpendapat, dibenarkan untuk melawat orang kafir, tetapi perlu dilihat kepada jenis perhubungan seperti jiran atau kerabat.

Diriwayatkan di dalam Kitab Sahih Bukhari melalui Anas r.a yang menceritakan:
عن أنس  رضى الله عنه ، قال كان غلام يهودى يخدم النبى  صلى الله عليه وسلم فمرض ، فأتاه النبى  صلى الله عليه وسلم  يعوده ، فقعد عند رأسه فقال له  أسلم  . فنظر إلى أبيه وهو عنده فقال له أطع أبا القاسم صلى الله عليه وسلم. فأسلم ، فخرج النبى  صلى الله عليه وسلم  وهو يقول الحمد لله الذى أنقذه من النار .
Maksudnya : “Pernah ada seorang anak Yahudi menjadi pelayan Nabi s.a.w, lalu dia sakit, maka Nabi s.a.w datang menziarahinya. Lalu baginda duduk dekat dengan anak itu dan bersabda kepadanya, “Masuklah Islam!” Anaknya memandang kepada ayahnya yang berada disisinya, lalu ayahnya mengatakan, “Turutilah  Abul Qasim (Nabi s.a.w).” Akhirnnya anak itu masuk Islam, lalu Nabi s.a.w. keluar darinya sambil bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkannya dari neraka.”[36]

2.4.      BENTUK-BENTUK SALAM
2.4.1.   Bentuk lafaz salam
Bentuk lafaz yang paling afdhal adalah  :
السلام عليكم ورحمة  الله وبركاته
Bentuk lafaz yang digunakan adalah dengan menggunakan dhamir jamak (kata ganti) kum (orang kedua jamak), sekalipun lafaz ini diberikan kepada seorang sahaja. Manakala, orang yang diberi salam, menjawabnya dengan lafaz:
وعليكم السلام ورحمة  الله وبركاته
Dimulai dengan huruf  ‘athaf  (kata hubung)  “wa”  yang ertinya “dan”.
ورحمة  الله وبركاته

Diriwayatkan dalam Kitab Imam Abu Daud  melalui Imran Ibnu Hushain r.a diceritakan bahawa: 
 عن عمران بن حصين قال جاء رجل إلى النبى الله فقال: السلام عليكم, فرد عليه ثم جلس, فقال النبى: عشر ثم جاء آخر فقال:السلام عليكم ورحمة الله,فرد عليه ثم جلس فقال:عشرين ثم جاء آخرفقال: السلام عليكم ورحمة الله وبركاته فرد عليه فجلس فقال ثلاثون.
Maksudnya : “Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad s.a.w, lalu mengucapkan “Assalamu alaikum.’’ Maka Nabi s.a.w menjawab salamnya lalu lelaki itu duduk. Maka Nabi s.a.w bersabda, “Sepuluh (pahala)” Kemudian datang lelaki lain, lalu ia mengucapkan “Assalamu alaikumwarahmatullahi” kemudian Nabi s.a.w menjawab salamnya, lalu lelaki itu duduk maka beliau  bersabda, “Dua puluh (pahala).” Kemudian datang lelaki lainnya lalu ia mengucapkan “Assalamu alaikumwarahmatullahi wabarakatuh.” lalu Nabi s.a.w menjawab salamnya,lalu lelaki itu duduk, maka beliau  bersabda, “Tiga puluh (pahala).”[37]

2.4.2.   Mengirim salam kepada orang yang tidak dijumpai[38]     
Hukum mengirim salam kepada orang yang tidak dijumpai adalah sunat. Apabila seseorang  disuruh memberi salam kepada seseorang, lalu pesuruh mengucapkan, “Si fulan mengirimkan salamnya kepada buatmu,” maka si penerima wajib menjawabnya seperti mana telah dijelaskan sebelumnya. Disunatkan juga menjawab kepada orang yang disuruh untuk menyampaikannya dan orang yang mengirimkannya dengan ucapan, “Dan semoga keselamatan keatas kamu dan dia.

2.4.3    Memberi salam kepada orang pekak[39]
Menurut al-Mutawalli, sekiranya ingin memberi salam kepada orang yang pekak, mestilah disertai dengan isyarat tangan agar dapat difahami.
Namun, sekiranya memberi salam dengan tidak digabungkan dengan isyarat tangan, maka dia tidak berhak mendapat jawapan kerana orang yang pekak tidak dapat mendengar salam berkenaan.
Demikian pula, sekiranya seseorang menerima salam daripada seorang yang pekak, maka hendaklah dia menjawab salam dengan lisan dan disertai dengan isyarat tangan agar difahami oleh orang pekak.
2.4.4.   Memberi salam kepada orang bisu[40]
Sekiranya seseorang memberi salam kepada orang bisu, maka si bisu mengisyaratkan tangan sebagai tanda menjawab salam, maka gugurlah kewajipan menjawab salam secara lisan kepada si bisu, kerana isyarat itu menggantikan ungkapan  lisan.
Manakala, sekiranya seseorang menerima salam dari orang yang bisu maka hendaklah ia menjawab dengan lisan dan disertakan dengan isyarat tangan agar dapat difahami oleh orang bisu berkenaan.

2.5.      PERMASALAHAN MENGENAI  SALAM
2.5.1.   Memberi dan menerima salam  anak kecil
Menurut al –Mutawalli[41], bahawa tidak wajib menjawab salam daripada budak kecil kerana budak  kecil bukanlah daripada kalangan yang berkewajipan untuk menjawab. Namun, berdasarkan etika, anak kecil perlu menjawab salam berkenaan.
Al-Mutawwali mengeluarkan dua pendapat bagi menjawab persolan diatas berdasarkan keislaman budak berkenaan. Pendapat yang pertama, jika budak kecil itu telah sah Islamnya maka wajib dijawab seperti orang yang sudah baligh.
Pendapat yang kedua, sekiranya  tidak sah Islamnya, maka budak kecil berkenaan tidak wajib menjawabnya, iaitu hukumnya hanyalah sunat.
Menurut Imam Nawawi[42], yakni pendapat yang paling sahih adalah wajib dijawab. Ini berdasarkan firman Allah :[43]
#sŒÎ)ur LäêŠÍhãm 7p¨ŠÅstFÎ/ (#qŠyssù z`|¡ômr'Î/ !$pk÷]ÏB ÷rr& !$ydrŠâ 3 ÇÑÏÈ
Terjemahan: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya ,atau balaslah dia ( dengan cara yang sama)”[44]

2.5.2.   Etika memberi salam
Diriwayatkan  melalui Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda bahawa:
أنه سمع أبا هريرة يقول قال رسول الله  صلى الله عليه وسلم  يسلم الراكب على الماشى ، والماشى على القاعد ، والقليل على الكثير .
Maksudnya : “Orang yang berkenderaan mengucapkan salam kepada orang yang berjalan kaki, orang yang berjalan kaki  mengucapkan salam kepada orang yang duduk, orang yang sedikit jumlahnya mengucapkan salam kepada orang yang banyak jumlahnya.”[45]

Diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari.
عن أبى هريرة قال قال رسول الله  صلى الله عليه وسلم  يسلم الصغير على الكبير ، والمار على القاعد ، والقليل على الكثير .
Maksudnya : “Orang yang muda mengucapkan salam kepada orang yang tua, orang yang berjalan mengucapkan salam kepada orang yang duduk, dan orang yang sedikit bilangannya mengucapkan salam kepada orang yang ramai jumlahnya”[46]
Al - Mutawwali[47] berpendapat bahawa sekiranya mengkhususkan salam kepada orang-orang yang tertentu, hukumnya adalah makruh. Sedangkan anjuran salam adalah salah satu daripada untuk mengeratkan kasih sayang.

2.5.3.   Memulakan lafaz salam dengan wa’alaikummussalam
Menurut Imam al-Mutawwali[48], sekiranya ucapan salam dimulakan dengan lafaz “wa’alaikummussalaam,” maka ucapan tersebut tidak berhak dijawab kerana ucapan tersebut bukan merupakan salam.
Pendapat yang kedua daripada Imam Abul Hassan al-Wahidi[49] berpendapat sekiranya seseorang memulakan lafaz salam dengan kalimah “wa’alaikummussalam”  atau  “waalaika”  maka, lafaz berkenaan dianggap lafaz salam, maka wajib dijawab salam berkenaan.
Pendapat yang kedua ini telah disokong oleh Imam Haramain bahawa lafaz “waalaikummussalam” merupakan lafaz salam, iaitu wajib dijawab kerana merupakan lafaz salam.
2.5.4.   Memulakan lafaz salam dengan  ’alaikummussalam

أتيت النبي صلى الله عليه و سلم فقلت عليك السلام يا رسول الله قال " لا تقل عليك السلام فإن عليك السلام تحية الموتى " .
Maksudnya : “Aku telah datang kepada Rasulullah s.a.w , lalu aku berkata ’alaikummussalam, wahai Rasulullah.” Baginda menjawab, “Janganlah engkau katakan  alaikumussalam, kerana sesungguhnya alaikumussalam itu adalah salam penghormatan bagi orang mati.”[50]


Berdasarkan hadis diatas, adalah dilarang untuk memberi salam dengan lafaz alaikumsalam.




[5] Muhammad Ismail bin Ibrahim bin Mughirah al -Bukhari  (2004),  Ringkasan Sahih al-Bukhari, cet. 1, Selangor: Percetakan Zafar, Kitab Tentang Permohonan Izin , Bab Mengucapkan  Salam  Kepada Orang  Yang  Kita Kenal Mahupun yang Tidak Kenal, no hadith 2059.
[6]  Ibid.,  Kitab Tentang Jenazah , Bab Perintah Menghantar Jenazah , no hadith 635.
[7] Imam Abi Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi  ad-Dimaysqi (1997) ,  Al-Azkar, cet. 1, Darul Tauzig wa Nasyrul Islamiyah, Bab Hukmu Salam,  hal. 230.
[8] Imam Abi Husain Muslim bin Hajjah Qusyairi Naisaburi (2005),  Ringkasan Sahih Muslim, Jakarta: Gema Insani, Bab Yang Lebih Baik di Antara Keduanya Adalah Mendahului Mengucapkan Salam, hadith 1801.
[9] Abu Daud Sulaiman bin As’as (1997), Sunan Abi Daud , Jil. 5, Beirut, Lubnan: Dar Ibnu Hazim, Kitab Adab, Bab Fi Fadhli Man Bada’a Salam, no hadith 5197.
[10] Imam Abi Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi ad-Dimaysqi (1997),  Al-Azkar, cet. 1, Darul Tauzig wa Nasyrul Islamiyah,  Bab Man Yuslim Alaihi Wa Man La Yuslim Alaihi Wa Man Yurad Wa Man La Yurad, hal. 236.
[11] Ibid.
[12] Ibnu Abi Syaibah Abdullah bin Muhammad (1994), Musannaf , Jil. 6, Beirut, Lubnan: Dar al- Fikr, Kitab Adab, Bab  Fi Salam Ala’ Nisa’, no  hadith 25780.   
[13] Muhammad Ismail bin Ibrahim bin Mughirah al –Bukhari  (2004),  Ringkasan Sahih al-Bukhari, Selangor: Percetakan Zafar, Kitab al-Maghazi  , Kisah Ka’ab bin Malik, no hadith 1699.
[14] Imam Badruddin Abi Muhammad Mahmud bin Ahmad Aini (1997), Ummdatul Qari, cet. 1, J. 14, Beirut, Lubnan: Darul Fikr, Kitab Ista’zan, Bab Man Lam Yusallim Ala Mani’ Tarafa Zanba Wa Lam Yurad Salam hatta Tatabayyana Taubatuh, hal. 370.
[15] Imam Abi Husain Muslim bin Hajjah Qusyairi Naisaburi (1987), Sahih Muslim, J. 4, Beirut, Lubnan: Muassasah Izudin, Kitab Salam, Bab An-Nahi Kaifa An Ibtida’ Ahlu Kitab Bi Salam Wa Kaifa Yuraddu Alaihim, no hadith 2163.
[16] Imam Abi Zakaria Yahya bin Syaraf  an-Nawawi ad-Dimaysqi (1997), Al-Azkar, cet. 1, Darul Tauzig wa Nasyrul Islamiyah, Bab Man Yuslim Alaihi Wa Man La Yuslim Alaihi Wa Man Yurad Wa Man La Yurad, hal. 237.
[17] Ibid.
[18] Imam Abi Husain Muslim bin Hajjah Qusyairi Naisaburi (1987), Sahih Muslim, J. 4, Beirut, Lubnan: Muassasah Izudin, Kitab Salam, Bab An-Nahi Kaifa An Ibtida’ Ahlu Kitab Bi Salam Wa Kaifa Yuraddu Alaihim, no hadith 2167.
[19] Imam Malik bin Anas (2004), Muwaththa’, J. 8, Muassasah Zaid bin Sultan al-Nahyan,  Kitab Jami’, Bab Ma Ja a fi Salam ala’ Yahudi wa Nasrani. 
[20] Imam Abi Zakaria Yahya bin Syaraf  an-Nawawi ad-Dimaysqi (1997),  Al-Azkar, cet. 1, Darul Tauzig Wa Nasyrul Islamiyah, Bab Man Yuslim Alaihi Wa Man La Yuslim Alaihi Wa Man Yurad Wa Man La Yurad, hal. 237.
[21] Imam Abi Husain Muslim bin Hajjah Qusyairi Naisaburi (1987), Sahih Muslim, J. 4, Beirut, Lubnan: Muassasah Izudin, Kitab Jihad Wa Sir, Bab Fi Duai’ Annabi Sallahi Alaihi Wassalm Wasabrahu Ala Azi Munafiqin, no hadith 1798.
[22]  Ibid. , J.1 , Kitab Solat, Bab Wujub Qiraah Fatihah Fi Kulli Rakaat Wa Innahu Iza Lam Yuhsin Fatihah,  no hadith 397.
[23] Muhammad Ismail bin Ibrahim bin Mughirah al –Bukhari  (2004),  Ringkasan Sahih al-Bukhari, cet.1, Selangor: Percetakan Zafar, Kitab Tentang Ilmu , Bab Mengulangi Perbicaraan Hingga Tiga Kali Supaya Orang Yang Mendengarnya Mengerti , no hadith 82.
[24] Imam Abi Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi ad-Dimaysqi (1997) ,  Al-Azkar, Darul Tauzig wa Nasyrul Islamiyah, Bab Kaifiyatul Salam, hal. 230.
[25] Imam Abi Husain Muslim bin Hajjah Qusyairi Naisaburi (1987), Sahih Muslim, J. 5, Beirut, Lubnan: Muassasah Izudin, Kitab Bar Wa Silah Wa Adab, Bab Istahab Thalaqahu Wajhu I’nda Liqa’, no hadith 2626.
[26] Imam Abi Zakaria Yahya bin Syaraf  an-Nawawi ad-Dimaysqi (1997), op.cit. , Bab Ahwal Allati Yastahib Fiha Salam Wallati Yakrahu Fiha Wallati Yubah,  hal. 234.
[27] Muhammad bin Idris as-Syafie (2007), Mukhtasar Kitab al-Umm fi al-Fiqh as-Syafie, Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa, Kitab Solat, hal. 204.  
[28] Imam Abi Zakaria Yahya bin Syaraf  an-Nawawi ad-Dimaysqi (1997), op.cit.
[29] Abu Daud Sulaiman bin As’as (1997), Sunan Abu Daud , Jil. 5, Beirut, Lubnan: Dar Ibnu Hazim, Kitab Adab, Bab Ma Ja  Fi Raddi Wahid Ani Jamaah, no hadith 5201.
[30] Imam Abi Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi ad-Dimaysqi (1997) ,  Op.cit.,  Bab Hukmu Salam , hal. 231.
[31] Muhammad Ismail bin Ibrahim bin Mughirah al –Bukhari  (2004),  Ringkasan Sahih al-Bukhari, Selangor: Percetakan Zafar, Kitab Tentang Awal Penciptaan , Bab Zikir Para Malaikat, no hadith 1361.
[32] Imam Abi Husain Muslim bin Hajjah Qusyairi Naisaburi (1987), Sahih Muslim, J. 4, Beirut, Lubnan: Muassasah Izudin, Kitab Jihad, Bab Kataba An-Nabi Sallahu Alaihi Wasalam Ila Herkal Yau’du Ila Islam, no hadith 1773.
[33] Imam Abi Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi ad-Dimaysqi (1997),  Al-Azkar, Darul Tauzig wa nasyrul islamiyah, Bab Kaifiyatul Salam, hal. 229.
[34] Imam Abi Husain Muslim bin Hajjah Qusyairi Naisaburi (1987),  Op.cit., J.4, Kitab Asyrabat, Bab Ikram Adduyuf, hadith 2055.
[35] Imam Abi Zakaria Yahya bin Syaraf  an-Nawawi ad-Dimaysqi (1997), op.cit.,  Bab Man Yuslim Alaihi Wa Man La Yuslim Alaihi Wa Man Yurad Wa Man La Yurad, hal. 238.
[36] Al-Imam Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Hajar Al-Asqolani (1997), Fathul Bari, J. 3,  cet.2 ,  Beirut, Lubnan : Dar al-Kutub al –Ilmiyah,  Kitab Janaiz, Bab Iza Aslama Sobi Famata Hal Yusolli Alaih, Hadith 1635.
[37] Abu Daud Sulaiman bin As’as (1997), Sunan Abu Daud , Jil. 5, Beirut, Lubnan: Dar Ibnu Hazim, Kitab Adab, Bab Kaifa Salam, no hadith 5195.
[38] Imam Abi Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi ad-Dimaysqi (1997), Al-Azkar, Darul Tauzig wa Nasyrul Islamiyah, Bab Kaifiyatul Salam, hal. 230.
[39] Ibid, hal. 232.
[40] Ibid.
[41] Ibid.
[42] Ibid.
[43] Surah an-Nisa’ , (86):4
[44] Terjemahan Tafsir Pimpinan ar-Rahman (2001), Darul Fikir, hal. 209.
[45] Imam Badruddin Abi Muhammad Mahmud bin Ahmad Aini (1997), Ummdatul Qari, cet. 1,
 J. 14, Beirut, Lubnan: Darul Fikr, Kitab isti’zan, Bab Taslim Rakib Ala Masyi, hadith 6232.
[46]  Ibid., hadith 6234.
[47] Imam Abi Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi ad-Dimaysqi (1997), Al-Azkar, Darul Tauzig wa Nasyrul Islamiyah, Bab Kaifiyatul Salam, hal. 230.
[48] Ibid.
[49] Ibid.
[50] Abu Daud Sulaiman bin As’as (1997), Sunan Abu Daud , Jil. 5, Beirut, Lubnan: Dar Ibnu Hazim,Kitab Adab, Bab Karahiyati Aiyyakula Alakumsalam, Hadith 5211.

No comments:

Post a Comment

terima kasih sudi baca (^-^)

Ads Inside Post