Wednesday 10 April 2013

Sejarah SMKA TAHAP

BAB 3
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA TENGKU AMPUAN HAJJAH AFZAN PAHANG (SMKA TAHAP)

3.1.PENGENALAN 
3.1.1.   Falsafah SMKA
Usaha yang terancang, terkawal dan berterusan berasaskan paduan ilmu, iman dan amal soleh serta budaya Islam dan suasana pembelajaran yang sempurna kearah melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan, seimbang, cemerlang, berakhlak mulia, bertakwa, dan bertanggungjawab untuk mengamalkan cara hidup Islam serta mampu memberi sumbangan yang bermanfaat kepada agama, diri, ummah dan negara.
3.1.2.   Matlamat SMKA
  • Mendidik pelajar dengan keperibadian Islam.
  • Membekalkan ilmu yang memenuhi tuntutan duniawi dan ukhrawi.
  • Memperkembangkan potensi diri dari segi minat, kreativiti, sahsiah dan kepimpinan.
  • Memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang ilmu dalam dan luar Negara.
3.1.3.   Objektif SMKA
  • Mencapai kecemerlangan kokurikulum dan kurikulum.
  • Melahirkan pelajar yang mengamalkan akhlak yang mulia.
  • Membentuk generasi pelajar sebagai pemimpin yang diteladani.
  • Melahirkan pelajar yang mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi cabaran budaya yang bercanggah dengan nilai – nilai Islam.
  • Menyediakan pelajar yang dapat memberikan sumbangan yang berkesan bagi memenuhi keperluan negara dan ummah.
3.1.4.   Misi dan Visi SMKA
  • Menambahkan pelajar Melayu Islam yang berjaya dengan cemerlang dalam PMR, SPM dan STPM.
  • Menjelmakan falsafah pendidikan kebangsaan dalam bentuk realiti ilmu dan penghayatan al-quran dan as-sunnah.
  • Menambah bilangan pelajar Melayu Islam yang mampu bersaing dengan pelajar bukan Islam dalam bidang kepakaran ilmu (Fardu Kifayah) dengan didasari syariat Islam .
3.1.5.   Moto SMKA
BERIMAN-BERILMU –BERAMAL
3.2.   MAKLUMAT MENGENAI SMKA TAHAP
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan merupakan salah satu daripada 57 buah SMKA diseruluh Malaysia.
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan atau nama ringkasnya SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan, merupakan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan yang terletak di Afzan Pahang Km4, Jalan Jerantut-Temerloh. Sekolah ini juga terletak di tepi jalan besar dan merupakan salah satu laluan utama Jerantut- Temerloh.
Sekolah Menengah Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang ditubuhkan pada tahun 1984. Nama sekolah ini dinamakan sempena nama Almarhumah Sultanah Pahang.
3.2.1.   Sejarah penubuhan  SMKA TAHAP
Pada masa-masa yang lalu kebanyakan sekolah agama hanya menumpukan kepada subjek Agama Islam dan Bahasa Arab sahaja. Cabaran hidup sekarang memerlukan sekolah agama memperbaharui dan menyesuaikan tradisi pengajian lama dengan pengajian yang diperlukan oleh masyarakat sekarang tanpa menjejaskan identiti asal sekolah agama. Perubahan ini adalah penting untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar jurusan agama dialirkan semasa mereka melanjutkan pelajaran ke pelbagai jurusan seperti agama, sastera, undang-undang, sains, dan lain-lainnya. Bagi memenuhi hasrat tersebut, sekolah ini yang pada awalnya dinamakan Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Pahang (SMKAP) Jerantut telah ditubuhkan dan menjadikan antara Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) yang terawal ditubuhkan iaitu yang ke 15 di Malaysia.
Pada 9 Ogos 1983, mesyuarat jawatankuasa peringkat jabatan telah diadakan bagi tujuan penubuhan sekolah ini diadakan di Sekolah Menengah Jerantut.
3.2.1.1.   Perancangan jangka pendek yang telah dibuat seperti berikut:
  • Bagi tahun pertama tiga bilik darjah sidang pagi bagi menampung seramai 120 pelajar telah ditempatkan di Sekolah Menengah Jerantut.
  • Pengubahsuaian bilik pengetua dan  bilik guru termasuk pendawaian semula.
  • Tiga bilik  kosong di asrama SMJ 1 digunakan bagi menampung 120 pelajar sekolah ini. Sebahagian pelajar SMJ 1 dialirkan ke SM Pulau Tawar.
  • Menyambung dewan makan dan menambah meja makan.
3.2.1.2.   Perancangan jangka panjang
·         Proses pengambilan tapak projek seluas 42 hektar.
·         Proses telah diluluskan dengan anggaran perbelanjaan RM17 juta dan dijangka siap dalam masa empat tahun.
·         Bahagian pembangunan JPNP telah menyediakan anggaran perbelanjaan RM33.000 bagi menyediakan bangunan sementara di SMJ 1.
·         Konsep – sekolah ini adalah sekolah menengah harian biasa tetapi amalannya adalah seperti sekolah berasrama penuh.
·         Kurikulum – garis panduan disediakan oleh Kementerian Pendidikan selain daripada pelajaran agama dan bahasa Arab, ia memberikan pendidikan sekular seperti sekolah menengah biasa. Pemilihan pelajar- pelajar dibuat oleh unit pendidikan Islam JPNP. Pada amnya penempatan pelajar dipilih daripada  kalangan anak-anak yang bermastautin di negeri Pahang Darul Makmur.
·         Perlantikan pengetua dan guru penolong kanan pada 1 November 1983 dan penempatan tenaga pengajar lain pada 1 Januari 1984.
·         Pendaftaran pelajar pertama adalah pada 3 Januari 1984.
Pada 3 Januari 1984, sekolah ini memulakan aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum. Jumlah pelajar seramai 119 orang ( 69 lelaki dan 50 perempuan ) telah mendaftarkan diri pada 8 Januari 1984 di Sekolah Menengah Jerantut. Semua pelajar tersebut ditempatkan di asrama sekolah tersebut.
Seramai sebelas orang guru telah mendaftar di sekolah ini dan mereka merupakan guru-guru perintis generasi cemerlang SMKA TAHAP, dan telah diterajui oleh Tuan Haji Mansor bin Haji Abdul Kadir selaku pengetua SMKA TAHAP yang pertama.
Guru –guru tersebut adalah :
  1. Ustaz Asaari bin Haji Yatim (GPK)
  2. En. Nazri bin Ngah
  3. En. Mokhtar bin Haji Othman
  4. En. Masod bin Yunus
  5. En. Shaari bin Haji Abdul Ghani
  6. En. Wong Chee Keong
  7. Cik Fauziah Hanim
  8. Puan Zaharah binti Omar
  9. Cik Norijah binti Long
  10. En. Shaharuddin bin Sulaiman
Pada awal tahun 1985, JPNP telah membina 2 blok bangunan pasang segera yang mengandungi lapan bilik darjah disamping kemudahan bilik air dan tandas, 4 daripada bilik tersebut dijadikan asrama.
Pada tahun 1986, sekolah ini telah menemukan calon SRP buat kali pertama. Dan dengan hasil usaha semua pihak dalam menjayakan pelajar-pelajar sulung dengan mendapat hasil 100 peratus dengan pangkat A.
Pada tahun 1987, bilangan pelajar semakin bertambah , maka berlakunya kekurangan bilik darjah. Justeru itu, telah diadakan dua sesi pembelajaran (pagi dan petang). Pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga  sesi pagi. Manakala pelajar tingkatan empat, sesi petang. Bagi menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat, dengan murah hati dan kerjasama yang baik  SMJ telah menambah beberapa bilik asrama bagi mengatasi masalah kesesakan pelajar SMKAP. Ketika itu jumlah pelajar telah mencecah 777 orang termasuk pelajar SMJ. Berkat kesungguhan dan bimbingan dari pengetua SMJ, Encik Ahmad Kamal bin Haji Abdul Hamid dan pengetua SMKAP serta tunjuk ajar yang murni oleh Encik Abdul Rahim bin Haji Noh segala masalah yang timbul dapat diselesaikan dan perancangan berjalan dengan lancar.
Di atas kesabaran dan harapan yang tinggi oleh guru-guru dan pelajar-pelajar  Selama empat tahun, akhirnya bangunan baru SMKAP telah siap dibina. Bangunan baru ini terletak di kawasan seluas 17 hektar di Jalan Jerantut- Temerloh berdekatan Kampung Temin ini akhirnya disiapkan menjelang tahun 1988.
Bangunan baru yang telah didirikan, antaranya :
  • 4 blog bangunan sekolah
  • Sebuah kantin
  • Sebuah dewan besar
  • 10 buah kelas
  • 2 blok asrama putera
  • 2 blok asrama puteri
  • Sebuah dewan makan
  • Sebuah surau
  • 2 buah padang permainan
  • 2 gelanggang bola jaring
  • 3 buah gelanggang badminton
  • Sebuah gelanggang bola keranjang
  • 2 buah gelanggang tenis
  • Sebuah rumah guru kelas C
  • Sebuah rumah guru kelas D
  • 10 buah rumah guru kelas F
Maka pada 1.1.1988 dengan secara rasminya SMKAP telah berpindah ketapak baru dengan menggunakan nama sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang semperna oleh Kebawah DYMM Sultan Pahang pada 27 September 1988.

Sesuai dengan penambahan bilangan pelajar, maka bilangan guru-guru turut bertambah. Dari 11 orang guru pada tahun 1984, menjadi 37 orang pada tahun 1988 dan jumlahnya semakin bertambah dari tahun ke tahun sehingga sekarang.

Ads Inside Post