Sunday, 28 September 2014

ULIL AMRI: KEDUDUKAN DALAM SISTEM POLITIK ISLAM

OLEH: SAR MASTURA BINTI ABDUL RAHMAN

PENDAHULUAN 

Adakah Malaysia merupakan salah sebuah negara yang betul-betul memiliki pepimpin ulil amri? Dan adakah Malaysia mengamalkan dasar kepimpinan berteraskan ulil amri. Masyarakat Islam hari ini perlu mengetahui konsep yang sebenar bagi melahirkan negara yang mengamalkan Islam. Islam merupakan negara yang adil, universal dan syumuliah. Dalam kita bernegara hari ini, pemilihan pemimpin yang mengikut dasar Islam adalah penting. Di Malaysia khususnya, kita menggunakan sistem demokrasi berparlimen. Oleh itu kesedaran dan pengetahuan yang baik terhadap konsep ulil amri amatlah penting bagi membina sebuah negara yang mengamalkan Islam. 

ULIL AMRI: KEDUDUKAN DALAM SISTEM POLITIK ISLAM

Menurut (Noah Gadut, 2004:3) ulil amri adalah sekelempok orang pilihan yang diberikan amanah dan mempunyai kekuasaan serta tanggungjawab dalam mengambil keputusan atau sekelompok orang pilihan yang mengatur urusan masyarakat. Selain itu juga, istilah ulil amri adalah berasal daripada lafaz bahasa arab. Al-Quran merupakan  sumber perundangan Syariah Islam yang pertama dan menggunakan lafaz ulil amri bagi menunjukkan para pemimpin. 

Ulil amri mempunyai kedudukan dan peranan yang istimewa dalam sesuatu kelompok. Bukan sahaja melalui hujah wahyu dan seruan, pengiktirafan terhadap ulil amri juga diberikan oleh akal manusia yang waras. Kita tidak boleh mengelak dari mengiktiraf kedudukan para pemimpin dalam sesuatu kelompok kerana ianya tidak boleh diterima akal bahkan bertentangan dengan wahyu Allah dan seruan nabi. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 59:Yang bermaksud:

59. Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu.

Ketaatan kepada ulil amri adalah wajib. Sesiapa yang menyanggahi arahan pemimpin dikira berdosa dan boleh dihukum. Ini kerana apabila arahan pemimpin tidak dipatuhi serta dituruti, matlamat serta keharmonian sesuatu kelompok itu boleh terjejas. Pemimpin adalah punca gerak kerja bagi sesuatu organisasi dan asas kesatuan bagi sesuatu kelompok masyarakat. Apabila ketaatan terhadap mereka tidak diberikan, gerak kerja organisasi akan terbantut dan keharmonian satu-satu kelompok masyarakat akan terjejas.

Namun, ketaatan terhadap ulil amri tidaklah bersifat mutlaq. Ini kerana, hak ketaatan terhadap mereka terikat dengan syarat yang telah digariskan oleh syara’.
Apabila pemimpin menyuruh berbuat maksiat kepada Allah seperti mencuri, membunuh tanpa hak dan sebagainya, maka tidak wajib bagi para pengikut untuk mentaatinya bahkan wajib pula menyanggahinya.

Apabila berlaku perselisihan antara arahan para pemimpin, Allah SWT memerintahkan para hambanya untuk menyerahkan urusan itu kepada Allah. Ini bermaksud kita wajib menyelidik apakah arahan yang selari dengan syarak dan menepati arahan Allah. Firman-Nya dalam Al-Quran surah An-Nisa’ ayat 59:

“ …kemudian jika kamu berlainan Pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

Kebanyakan ayat-ayat Al-Quran berkaitan kepimpinan disyarahk
an oleh para ulama’ terdahulu adalah dalam kerangka sistem pemerintahan Khilafah. Ini kerana para ulama’ terdahulu diperintah oleh para khalifah dan gabenor yang dilantik oleh khalifah.

Menurut (Samat, 2002: 31-52) sedangkan kita pada hari ini tidak lagi memiliki khalifah. Pemimpin kita bukan lagi pemimpin bagi umat Islam seluruhnya. Setiap negara mempunyai sistem tersendiri dan kebanyakannya tidak lagi menggunakan sistem monarki. Malaysia walaupun mempunyai raja yang dipanggil Agong, tetapi kuasa Agong adalah tertakluk kepada perlembagaan.

Menjadi persoalan bagi kita pada zaman kini, adakah penafsiran Al-Quran yang dilakukan oleh para ulama’ terdahulu masih kekal relevan pada hari ini sedangkan sistem pemerintahan kita ternyata berbeza sama sekali. Bahkan ada golongan yang mempertikaikan dengan menimbulkan persoalan ‘adakah ayat-ayat Al-Quran berkaitan kepimpinan masih relevan dan sesuai dengan situasi hari ini?’Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu meneliti nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah dan membandingkannya dengan peruntukan-peruntukan yang wujud dalam sistem perundangan negara kita.

Menurut Monir (2002: 105-122), ajaran Islam terkandung dalam Al-Quran dan Sunnah nabi Muhammad SAW. Kepimpinan terbaik adalah kepimpinan Rasulullah SAW. Ini dibuktikan oleh catatan sejarah apabila Rasulullah berjaya menggagaskan Negara Islam pertama iaitu Negara Islam Madinah. Perlembagaan Madinah pula merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Kejayaan terbesar hasil penubuhan Negara Islam Madinah adalah kejayaannya menumpaskan dua kuasa besar dunia ketika itu iaitu kerajaan Rom dan kerajaan Yunani. Ini semua adalah natijah kepimpinan Islam yang dimulakan oleh Rasulullah SAW.

KAEDAH PEMILIHAN KETUA DALAM MALAYSIA

Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW kekal relevan hingga akhir zaman walaupun situasinya sudah berbeza pada hari ini. Ini kerana Islam tidaklah mengajar umatnya corak dan sistem pemerintahan tertentu. Sebaliknya Islam mengajar prinsip-prinsip utama dan asas-asas pelaksanaan yang mampu dilaksanakan. Ini jelas apabila para sahabat yang diakui kebaikannya oleh Rasulullah SAW telah melakukan banyak perubahan-perubahan dalam pemerintahan mereka yang ternyata berbeza dengan amalan Rasulullah SAW.

Contohnya adalah kaedah pemilihan khalifah. Rasulullah SAW adalah ketua umat Islam dan lantikan beliau itu dibuat oleh Allah SWT sendiri. Manakala pelantikan ketua umat Islam yang digelar khalifah selepas Baginda SAW adalah melalui pengiktirafan Rasulullah SAW terhadap Saidina Abu Bakar As-Siddiq apabila Baginda melantik Saidina Abu Bakar sebagai imam gantian saat Baginda sakit. Lantikan ini difahami oleh para sahabat yang lain bahawa Rasulullah turut melantik Saidina Abu Bakar sebagai ketua umat Islam pengganti Baginda.
Tetapi saat pelantikan Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib menjadi khalifah, kaedah pemilihan khalifah adalah berbeza. Mereka tidak lagi dilantik secara terus oleh kepimpinan sebelumnya. Ada yang dipilih melalui undian sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara demokrasi. Inilah inovasi dalam kepimpinan yang diamalkan oleh para salafussoleh dan ianya tidak salah di sisi syarak bahkan diakui oleh Allah SWT melalui sabdaan Nabi SAW:
Maksudnya:Tidak akan berhimpun umatku di atas kesesatan.

Andai kata kaedah pemilihan itu tidak diiktiraf oleh Allah SWT, maka tidaklah Rasulullah SAW melafazkan hadis di atas. Apatah lagi inovasi pemilihan ini dilakukan oleh para sahabat-sahabat agung Rasulullah SAW yang benar dan diredhai Allah.

Ini membuktikan bahawa pemerintahan di negara demokrasi pada hari ini dipilih melalui kaedah yang diiktiraf dan sekaligus menolak pandangan beberapa kelompok yang menolak kaedah pemilihan pemimpin melalui peti undi kerana kononnya bertentangan dengan Islam.Ini juga memberi pengertian bahawa ayat-ayat Al-Quran masih relevan dalam membicarakan soal kepimpinan hari ini.
Kita memerlukan pemimpin yang menyokong dan mengambil sepenuhnya perintah syariat Allah. Menurut Al-Qardawi syariat adalah bertujuan memelihara kemaslahatan hidup. Syariat terdiri daripada syariat rabbaniah, syariat insaniah, syariat akhlakiah, syaria waqi’yah, dan syariat mantiquyyah. Ciri-ciri berkenaan adalah bertujuan membawa manusia mencapai kesempurnaan dari segi agama, ibadah dan akhlak.  

Dr. Musdah Mulia (2001: 228) berkata dalam bukunya, Negara Islam:Menurut golongan Sunni, pengangkatan kepala negara itu harus berdasarkan kepada pilihan ummat atau yang lazim disebut dengan syura. Alasannya adalah, pertama: kerana tidak ada nas yang qat’ie tentang siapa pengganti nabi sebagai kepala negara Islam; kedua: kerana prinsip pemerintahan dalam Islam itu berdasarkan syura.Secara lebih terperinci, Abu Zahrah (1965) menjelaskan bahawa kalangan jumhur ahli sunnah sepakat bahawa pelaksanaan syura dalam pengangkatan kepala negara dapat ditempuh melalui tiga cara:1. Melalui pemilihan bebas yang dilaksanakan melalui musyawarah2. Pengangkatan atau penunjukan dari khalifah yang berkuasa terhadap seseorang yang bukan keluarganya3. Pengangkatan atau penunjukan oleh khalifah yang berkuasa terhadap beberapa orang, 3 atau lebih yang merupakan tokoh-tokoh terkemuka dalam masyarakat untuk dipilih.

KONSEP SYURA DALAM SISTEM PEMERINTAHAN MALAYSIA

 Syura menurut Al-Qardawi adalah merupakan tunjang utama kekuatan si
stem pemerintahan dan politik Islam. Sepertimana firman Allah yang memerintahkan dalam surah assyura ayat 38 :  Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang Yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang Dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa Yang Kami beri kepadanya.
 Pada zaman Rasulullah sendiri sememangnya Rasulullah menggunakan syura bersama-sama dengan para sahabat. Syura merupakan asas kepada politik yang adil , membanteras berlakunya kezaliman dalam pemerintahan. Selain itu juga, sistem syura merupakan salah satu pembinaan masyarakat yang adil, bersahsiah, dan berwibawa (Don, Latif, & Kadir, 2004: 38-40).
Dalam sistem pemerintahan Malaysia, konsep syura ini digunakan secara maksimum bila mana setiap keputusan dan dasar utama negara tidak ditentukan oleh mana-mana kuasa mutlak sebaliknya perlu diperhalusi oleh Parlimen yang terdiri daripada dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan Malaysia. Secara zahirnya kita boleh mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam melalui peruntukan ini.Artikel 11 pula menyatakan bahawa setiap agama bebas dianuti dan diamalkan oleh rakyat Malaysia, dan tertakluk kepada subseksyen (4), ianya juga bebas disebarkan. Menurut subseksyen 4, akta Wilayah Persekutuan dan Enakmen negeri-negeri boleh menghalang penyebaran agama selain Islam kepada penganut Islam.Artikel 32 menyatakan bahawa pemimpin tertinggi Persekutuan Malaysia iaitu Yang di-Pertuan Agong mestilah dipilih oleh Majlis Raja-raja setiap 5 tahun. Dan sebagaimana yang tertulis dalam perlembagaan-perlembagaan atau undang-undang tubuh setiap negeri, sultan ataupun raja mestilah seorang yang beragama Islam dan menjadi ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.Artikel 121(1A) pula memperuntukkan bahawa mana-mana kes yang terletak di bawah bidang kuasa kehakiman mahkamah syariah adalah ekskusif kepada mahkamah syariah sahaja. Mahkamah sivil tidak boleh mengganggu bidang kuasa kehakiman ini. Ini tidak terlaksana pula terhadap agama-agama lain.

 KESIMPULAN

Islam adalah merupakan satu sistem dan cara hidup yang melengkapi semua kegiatan hidup manusia. Tidak ada peraturan manusia yang tidak ada peraturan Islam didalamnya. Islam menetapkan peraturan  tertentu dari cara bagaimana bangsa bangun dari  tidur hinggalah membangunkan masyarakat  dan menentukan hubungan antara negara dan umat di dunia ini. Tidak ada sistem hidup didunia ini yang menentukan aturannya selengkap Islam (Prof. haji Hassan Salleh, Prof. Mdya Sulaiman Yasin , & Prof. Dato' Dr. Haron Din, 2003: 94). Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Maidah ayat 3,  

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.

Berdasarkan perbahasan yang telah dilakukan dalam kertas ini, jelaslah bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam secara dasar meskipun tidak memenuhi ciri-ciri negara Islam sepenuhnya terutama dalam aspek perundangan.Lantaran itu, ketaatan kepada pemimpin negara ini sewajarnya diberikan sebagaimana yang telah dibahaskan sebelum ini. Ini bermaksud ketaatan itu wajib selagi tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip dan syariat Islam. 

RUJUKAN

Abu Zahrah, Muhammad (1965). Tanzhim al-Islam li Al-Mujtama’. Qaherah: Dar Al-Fikr Al-‘Arabi

Dr. Musdah Mulia (2001). Negara Islam: Pemikiran Politik Husain Haikal. Jakarta: Paramadina

Don, A. A., Latif, A. W., & kadir, M. N. (2004, Ogos 17). Agama dan Pembangunan Kontemporari. Keuniversalan Pembangunan Islam: Tinjauan Pemikiran Yusuf Al-Qardhawi Mengenai Al-Ab'ad Khamsah , pp. 35-42.

Ibnu Kasir.(2004) Tafsir Ibnu Kasir. Jakarta: Pustaka Ibnu KasirKerajaan Malaysia, Federal Constitution of Malaysia. Kuala Lumpur: Parlimen.

Monir. (2002). Kuasa Perundangan Dalam Islam. Kuala Lumpur :IKIM.Nooh Gadut. (2002. ). Ulil Amri : Takrif dan Konsep. Kuala Lumpur :IKIM.

Prof. Haji Hassan Salleh, P. P., & Prof. Dato' Dr. Haron Din. (2003). Manusia dan Islam. Kuala Lumpur: Academe dan Printing Survices Sdn Bhd. Samat. (2002). Hak –Hak Dan Tanggungjawab Rakyat Dan Ulil Amri. Kuala Lumpur :IKIM. 

Zaidan, D. A. (2007). Dasar-Dasar Ilmu Dakwah . Selangor: Dewan Pustaka Fajar.

Wednesday, 10 September 2014

Adik-adik junior sebilik SMKA TAHAP


Adik-Adik DORM K 2008....
Dah besar pun mereka ni, Alhamdulillah....
Ada juga yang belajar sama-sama di UnisZA. Terengganu....
Pandai, Cerdik, Cantik,Berbudi Bahasa, Muslimah, Sopan Santun...... 
P/S: Jadilah permata agama Allah yang amat bernilai. amin 




Mereka ini adalah merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh saya untuk bersama mereka, selama setahun-2008.
Diberi amanah untuk mendidik, memberi contoh yang baik, memberi tunjuk ajar dan nasihat. 

Tak ingat dah apa nama permainan ini. hehe
Yang penting masa itu dapat juga luangkan masa dengan mereka. :)



Semangat mereka ini memberikan kerjasama dalam menjayajakan pagi yang ceria ini. hehe


Macam-macam ragam perangai ini, ada yang manja , periang, lemah lembut, suka bercakap. suka bertanya, suka merajuk dan macam macam lagi. Sebagai kakak yang budiman terpaksa lah menatang dengan penuh kasih sayang. Terima kasih adik-adik yang sanggup berkongsi suka dan duka bersama dan tidak lupa juga yang sabar menerima teguran dan nasihat. Akak doakan semoga sentiasa dengan nikmat iman dan islam. Amin. 









Wednesday, 11 December 2013

Teknik menghafaz Al-Quran

Antara teknik menghafaz al-Quran yang boleh kita praktikkan adalah:


1. Doa. Minta pada Allah agar dipermudahkan menghafal kalamNya.

2. Baca muka surat yang perlu dihafaz dengan lancar, tanpa sebarang kesalahan baris dan hukum tajwid. Ianya penting bagi membantu anda menghafal dengan baik. Pada pengalaman saya, sebanyak hampir 30% membantu dalam hafazan. Bila kita lancar dilidah, maka akan mudah untuk hafal.

3. Gunakan quran yang ada terjemahan. Selepas baca dengan lancar, anda digalakkan melihat terjemahan ayat yang anda hafal. Ianya membantu anda untuk memahami makna ayat dan ingat kesenimbungan ayat yang dihafal. 

4. Pecahkan 3 bahagian pada satu muka surat supaya ianya nampak lebih sikit dan mudah untuk dihafal. Gariskan menggunakan pensel dan pembaris. 

5. Kenalpasti kepala ayat bagi setiap ayat. Analisis perbezaan ayat pertama dan kedua seterusnya ketiga mengikut bahagian. Contohnya ayat pertama dan kedua sama kepala ayat, maka anda perlu melihat perbezaan perkataan dan ayat yang bersambung selepasnya. 

6. Fokus. Fokuskan minda dan hati pada Al-Quran. Kalau benar-benar fokus ,insya allah sekejap sahaja kita sudah boleh menghafal.

7. Tasmik dengan kawan sebelum hantar tasmik kepada guru. 

8. Semak bacaan  dengan kawan-kawan.

9. Tandakan kesalahan baris atau tajwid setelah disemak oleh kawan.

10. Yakin.


Ok, saya terangkan lebih jelas. Mula-mula lancarkan dan tahu terjemahan. Pada peringkat ini anda perlu fokus. Kalau saya, setelah bacaan lancar, tajwid diperkemaskan saya akan terus mulakan hafazan. Ok, hafaz ayat yang pertama sampai lancar dan pada masa yang sama tahu maksud ayat. Apabila sudah dapat hafaz ayat pertama barulah sambung kepada ayat kedua begitu juga seterusnya sampailah habis satu bahagian. Ingat ye kita dah pecahkan kepada tiga bahagian. So, buat ikut step, dan step . Bila dah betul- betul yakin , barulah mulakan sambung hafazan perenggan kedua dan ulang step daripada awal. Selain itu juga, fokus betul-betul bila menghafaz dengan kosongkan fikiran serta ingat terjemahan ayat yang dihafal. Jangan mudah putus asa ye, ulang hafazan selagi tak lancar dan sentiasa fokus. Insya allah dapat menguasai dengan baik. Saya berharap agar entry ini dapat membantu dalam memudahkan hafalan. Insya Allah. Terima kasih. 





Monday, 14 October 2013

FIQH DAKWAH

OLEH: SAR MASTURA BINTI ABDUL RAHMAN

1.0       PENGENALAN


Ilmu dakwah merupakan suatu ilmu yang penting dalam menjayakan masyarakat kepada yang lebih baik. Dakwah adalah mengajak manusia kearah kebaikan serta meninggalkan larangan Allah. Hukum berdakwah adalah wajib dilaksanakan. Sekecil-kecil tanggungjawab adalahkepada diri sendiri, kemudian keluarga, jiran , sahabat handai , masyarakat dan seterusnya Negara. Para pendakwah mestilah mempunyai sifat yang ikhlas sebagai tunjang utama agar mendapat berkat daripada Allah SWT. Pelbagai metod yang boleh digunakan mengikut keperluan , latar belakang mad’u , persekitaran ,mad’u  dan juga sifat-sifat mad’u. Justeru, para pendakwah mestilah bijkasana dalam menyampaikan meseg kepada mad’u, ini boleh diperkukuhkan dengan banyaknya membaca dan mengkaji serta pengalaman daripada peristiwa yang lepas mengenai bagaimana untuk mengurus sasaran dakwah.

            Al-Quran dan hadis merupakan asas rujukan utama dalam merealisasikan dakwah. Peranannya sudah  termaktub sejak ianya diturunkan kepada nabi Muhammad SAW .  Rujukan utama ini mestilah berada diatas dan diguna pakai dalam kehidupan kita. Peraturan yang Allah SWT aturkan ini begitu cantik dan releven. Hal ini kerana, Allah maha mengetahui kemampuan hambaNya dan  Dialah sebaik –baik  perancang.



1.1       PERGERTIAN DAKWAH

Pengertian dakwah berdasarkan ayat 107 surah Yusof (1) seseorang pendakwah sebelum melakukan kerja-kerja dakwah hendaklah jelas tujuan dakwahnya. Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan bahawa dakwah adalah mengajak manusia kejalan Allah, bukannya jalan mensyirikkan Allah s.w.t. dan menjadikan Islam sebagai jalan hidup (A. Hasjmy, t.t: 28).

Selain itu juga dakwah turut ditakrifkan sebagai suara nubuwwah, yakni suara kenabian. Suara kenabian yang berkumandang dalam usaha memperingtkan manusia daripada lalai  dan menunjukkan mereka jalan menuju Tuhan (A. Hasjmy, t.t: 30).

Secara umumnya dakwah merupakan satu ilmu pengetahuan yang terdiri daripada cara-cara dan tuntutan , bagaimana cara untuk menarik perhatian manusia supaya menganut, menyetujui dan melaksanakan sesuatu idealogi, pendapat-pendapat, pekerjaan-perkerjaan dan lain-lain (Drs. Anwar Masy’ari , 1979 : 8)

Doktor Taufiq Yusof Al-Wa’ie mentakrifkan makna dakwah iaitu secara zahirnya , tujuan berdakwah ini ialah kemajuan diri yang sempurna dan kemajuan hidup bermasyarakat  dan penyucian dalam hidup didunia serta sabar dalam apa jua halangan dan rintangan. Dalam erti kata lain, membawa dakwah Islam dan menyebarkannya kepada manusia serta menghimpunkan manusia kepada kenaikan dan mengikut manhaj Allah dalam usaha mengislahkan mereka. Manhaj Allah yang telah ditetapkan adalah meliputi keseluruhannya, baik dari segi kata-kata mahupun perbuatan dan suruhan kepada kebaikan (Doktor Taufiq Al-Wa'ie, 1991: 9-19).

1.2       TUJUAN DAKWAH

Tujuan dakwah Islam ialah agar beribadah kepada Allah yang maha esa. Belum cukup sekiranya manusia itu mengakui hamba Allah , tapi masih tidak mengamalkan ajaran Islam dan masih terikat dengan peraturan jahiliyah. Selain daripada itu, tujuan dakwah adalah meminta kepada orang yang telah beriman kepada Islam dan menjaga fikirannya amalnya daripada kotoran dan perkara yang ditegah serta menjaga perbuatan daripada melakukan perkara terlarang ( Abul A’la Al Maududi,1982: 2-3)

Adalah tujuan utama dakwah menurut Syeikh Ali Mahfuz adalah mencari kebahagiaan (2). Diertikan sebagai mencari kebahagiaan dunia dan akhirat. Mengajak manusia supaya melakukan kebaikan, meninggalkan perkara munkar, memeluk Islam. Usaha-usaha dakwah tidaklah dapat dicapai dalam masa yang singkat , ianya memerlukan proses yang panjang , antaranya adalah melalui pendidikan, pengajaran, tabligh, membaiki taraf hidup, kesihatan dan pelbagai lagi (Drs. Anwar Masy’ari, 1979: 38-39).

1.3       HUKUM BERDAKWAH


Amar makruf merupakan satu taklif rabbani ( tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah ) seorang muslim tidak akan menjadi seorang mukmin yang sebenarnya selagi mana tidak melaksanakan tugas ini dalam lingkungan diri, keluarga, dan  masyarakat (Fathi Yakan, 2012: 145, Yasir Burhami, 2010: 30). Taklif rabbani ini telah Allah tegaskan dalam firmanNya: (3)

1.4       SIFAT PENDAKWAH

Antara sifat yang perlu dipupuk dalam jiwa para pendakwah dalam usaha mengislahkan keadaan sekeliling adalah bertunjangkan niat yang telus kerana Allah SWT yakni, ikhlas. Setiap perbuatan hendaklah dimulakan dengan niat,  jika dimulakan dengan niat yang  sah, maka sahlah perbuatannya. Jika dimulakn dengan niat yang rosak, maka sia-sialah usaha itu (At-Thahan, 2000: 11).  

1.5       SUMBER DAKWAH ISLAMIYAH


Sumber Dakwah Islamiyah antaranya adalah Al-Quran ,Sunnah,Sejarah ummat ( Bangsa Dahulu dan Sejarah Pembesar negara) serta perkara yang telah berlaku dalam kehidupan manusia.

Al- Quran merupakan mukjizat Allah SWT yang agung yang mana meliputi semua aspek kehidupan termasuklah hukum syarak , ibadat, muamalat munakahat dan jinayat. Al-Quran merupakan suatu sunber yang jitu. Manakala sunnah merupakan sumber kedua selepas Al-Quran , yang mana akan menjelaskan dan memahami Al-Quran. Peranan hadis adalah untuk menjelaskan ayat al-Quran yang mubham, sebagai penghurai hukum-hakam dan tujuannya terhadap al-Quran.

Mengetahui sejarah umat yang terdahulu juga amat penting bagi kita untuk mengambil iktibar. Sebagai contohnya dalam tugas sebagai sebagai seorang pendakwah , hendaklah kita menyeru mad’u kita dengan menceritakan sejarah yang berlaku pada ummat yang sebelumnya. Para pendakwah hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan kepintaraan akal yang menarik dan menggerakkan perasaan  pada tiap-tiap kali memberi penerangan.

Perkara yang telah berlaku atau lebih tepatnya adalah isu semasa  haruslah juga dijadikan sumber dakwah bagi memberikan penerangan , penjelasan akan sesuatu isu agar dapat dijelaskan dan kesannya supaya para pendakwah dapat memberi daya penarik yang kuat kepada pendengar kerana tugas daie’ adalah mengubati penderitaan dan menawarkan penyakit sesat menimpa manusia (Ghazali Darussalam, 1996: 14-15).

1.6       CARA DAN TEKNIK  BERDAKWAH

Menurut firman Allah s.w.t dalam surah (4) , antara garis panduan untuk berdakwah adalah :
1)   Berdakwah dengan berhikmah, pengajaran yang baik dan perdebatan yang baik.
2)   Sikap keras musuh hendaklah dibalas dengan setimpal, adapun sabar itu adalah lebih baik.
3)   Janganlah berdukacita dengan kecaman dan cabaran daripada musuh kerana Allah bersama-sama dengan orang yang bertakwa (A. Hasjmy, t.t: 66).

1.6.1    BERDAKWAH KEPADA KELOMPOK AWAM DAN INTELEKTUAL

Menurut Syeikh Muhammad Abduh mendatangkan contoh terbaik untuk berdakwah kepada dua kelompok masyarakat, iaitu golongan cerdik pandai dan golongan orang awam . Sebagai contohnya bagi golongan cerdik pandai ini, kita haruslah menyantuni mereka dengan berhikmah , yakni alasan dengan alasan, dalil dengan dalil, dan hujjah yang dapat diterima oleh kekuatan akal mereka. Bagi golongan awam pula, metod yang bersesuaian dengan mereka adalah maui’zatul hasanah, iaitu dengan didikan yang baik dan jalan yang mudah difahami (Drs. Anwar Masy’ari, 1979: 78 , Sayyid  Sabiq, 1985: 31-32).

1.6.2    MENGAJAR DAN MEMBERI PERINGATAN

Selain daripada itu juga, pelbagai metod dakwah yang bersesuaian dengan keadaan persekitaraan masyarakat hari ini adalah dengan melalui mengajar dan memberi peringatan yang berterusan kepada mad’u. Mereka memerlukan kepada ilmu seperti bumi yang kering berhajat kepada hujan. Justeru itu, pendakwah haruslah bijak dalam menyampaikan dakwah kepada mereka (Ghazali Darussalam, 1996: 32).

1.6.3    MEMBERI AMARAN

Manusia bukan sahaja mematuhi sesuatu dengan cara menyukakan, bahkan ada yang mematuhi melalui bentuk ancama. Sebagai contoh dalam menangani orang yang melakukan maksiat kepada Allah adalah dengan mengingatkan kebesaran dan kekuasaan Allah. Dan cara bagi menakutkan orang lain adalah dengan seseorang pendakwah menerangkan mudarat maksiat yang menimpa keatas diri orang yang melakukankannya, keluarga dan kedudukannya. Hal ini demikian akan menyebabkan mereka berasa takut melakukan maksiat , takut kepada kecelakaan dan bala yang bakal menimpanya. Maksiat adalah segala punca segala musibah dan bencana yang membahayakan individu dan orang ramai.   (Ghazali Darussalam, 1996: 33 ).

 

1.6.4    PENULISAN

Kemampuan untuk berdakwah menggunakan penulisan adalah suatu anugerah daripada Allah. Hujjah yang mengatakan bahawa penulisan merupakan antara metod yang penting adalah jika dilihat sejarah pengislaman rakyat Rome dan Parsi adalah penulisan, surat-surat seruan dan ajakan Rasulullah telah mendapat sambutan daripada rakyat jelata dan pihak istana begitu juga di Sudan dan Habsyah. Metod ini mampu bertahan lama berbanding metod yang melibatkan percakapan  (Ghazali Darussalam, 1996: 34).

1.7       SASARAN DAKWAH

1.7.1    BERDAKWAH KEPADA BUKAN MUSLIM DAN MUSLIM

Tanggungjawab untuk menyebarkan agama Allah adalah tanggungjawab semua kaum muslimin  kerana adalah sebaik-baik ummat yang dipilih untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan. Adapun dakwah kepada muslim ialah dalam bentuk nasihat menasihati supaya berbuat kebajikan dan menginggalkan larangan. Tugas ini lebih ditaklifkan kepada Muslim yang mengetahui yakni arif mengenai selok belok Islam (Ghazali Darussalam, 1996: 12).

1.8       KAEDAH-KAEDAH  DAN PRINSIP-PRINSIP AMAR MAKRUF NAHI MUNKAR
 Antara kaedah dan pinsip dakwah yang ditekankan oleh ( Sulaiman bin Abdul Rahman al-Haqil, 1996: 68) menjadikan syariah Islam sebagai asas perlaksanaan amar makruf nahi munkar. Keduanya, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang benar-benar haram . Selain itu juga, prinsip yang penting bagi melaksanakan amar makruf nahi munkar adalah sengan menangkis kejahatan . Manakala, peringkat perlaksanaan (tanfiz)  yang dibawa  oleh ulamak adalah  untuk mengubah kejahatan dan mengeluarkannya.

1.8.1    PELAKSANAAN HUKUM ISLAM DALAM DAKWAH

Undang-undang Islam adalah bertujuan untuk mencapai objektif yang besar iaitu  mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat , dan antara matlamatnya adalah seperti berikut:
1.         Menyelamatkan umat Islam daripada syirik dan bid’ah.
2.         Memperjelaskan  makna kebaikan dan kebenaran dalam negara Islam.
3.         Mewujudkan suasana yang baik dan  menghapuskan kejahatan dan maksiat. .
5.         Memupuk ukhuwah persaudaraan  dan integrasi serta kerjasama dalam kebaikan
(Sulaiman bin Abdul Rahman al-Haqil, 1996: 54)

1.9       KESIMPULAN

Dalam kita membicarakan soal ilmu dakwah ini, haruslah kita ingat bahawa setiap perbuatan kita hendaklah diniatkan kepada Allah SWT sahaja serta menuntut kerehdaan Allah. Melalui perbahasan yang telah saya kupaskan dalam tugasan ini, dapatlah dinyatakan bahawasanya tugas dakwah tidak pernah berhenti dan berkewajipan terhadap perlaksanaanya. Tugas dakwah penting dalam mengajak manusia beroleh redha serta syurga Allah.
            Dalam menjayakan misi yang Allah amanahkan ini, setiap pihak haruslah berperanan. Bermula dengan diri sendiri, yakni usaha untuk menjadi seorang muslim soleh. Kemudiannya, pembinaan keluarga yang mengamalkan cara-cara hidup Islam. Maka dengan itu, akan terhasillah masyarakat yang mengamalkan cara hidup Islam. Peluang dan ruang untuk menegakkan kalimah Islam di negara sendiri iaitu Malaysia dan  seantaro dunia amatlah cerah.
            Ummat Islam hari ini, mestilah berusaha sebaik mungkin untuk memberi kefahaman kepada masyrakat. Justeru itu, ummat Islam mestilah menambahkan ilmu , bukan sahaja ilmu agama bahkan ilmu alat , ilmu kemasyarakatan serta arif mengenai isu semasa. Faktor yang mendorong kejayaan dai’e juga adalah penguasaan bahasa. Penguasaan bahasa yang baik dapat memberi kefahaman dan penjelasan yang baik kepada sasaran. Maka, proses dakwah berjalan denagn baik dan Islam insya allah berkembang dengan maju. Insya allah.      

NOTA HUJUNG

107. (Mengapa mereka bersikap demikian?) Adakah mereka merasa aman dari didatangi azab Allah
yang meliputi mereka, atau didatangi hari kiamat secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya?

حث الناس على الهدى والأمر بالمعروف و النهي عن المنكر ليفوزوا لسعادة العاجل والأجل  (2
(3)
104. dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.

  (4)
123. kemudian Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad): hendaklah Engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, Yang berdiri teguh di atas jalan Yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.
124. Sesungguhnya hari Sabtu itu dijadikan (hari kelepasan Yang wajib dihormati) atas orang-orang (Yahudi) Yang telah berselisihan padanya; dan Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat, tentang apa Yang mereka telah berselisihan padanya.
125. serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.
126. dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas Dengan kejahatan Yang sama seperti Yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) Sesungguhnya Yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang Yang sabar.
127. dan Bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan Yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan Dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah Engkau bersempit dada disebabkan tipu daya Yang mereka lakukan.
128. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa, dan orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya.



RUJUKAN


Al-Haqil, S. b. (1996). al-Amru bil Makruf wa nahi anil Munkar fi Daui' .Mawaqi' al-Islam:
http://www.al-islam.com ( Maktabah Syamilah)
Al-Wa'ie, D. T. (991). An-Nisa' Ad-Da'iyah. Al-Mansurah: Darul Wafa'.
At-Thahan, M. M. (2000). Sifatu Ad- Dai'yah Al-Muslim. Kaherah: Darul Al-Thaba'ah .
Burhami, Y. (2010). Muntaliqaat Ad-Dakwah ila Allah . Islandariah, Mesir: Darul Khulafa' ar-Rasyidin.
Darussalam, G. (1996). Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah. Kuala Lumpur: Utusan Publication dan Distribution Sdn. Bhd.
Ghallusy, D. A. (1990). Dakwah Islamiyah . Terengganu: Yayasan Islam Terengganu.
Hasjmy, A. (t.t.). Dustur Dakwah Menurut Al-Quran. Jakarta: Negara.
Masy'ari, D. A. (1981). Study Teantang Ilmu Da'wah . Surabaya: PT Bina Imu Offset .
MAududi, A. A. (1982). Petunjuk Juru Dakwah.
Sabiq, S. (1985). Dakwah Islamiyyah. Beirut, Lubnan: darul Kitab al-Arabi.
Yakan, F. (2012). Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah. Shah Alam, Selangor: Dewan Pustaka Fajar.

























                                                                  




Tuesday, 24 September 2013

PERBANDINGAN SOSIOLOGI DARI SUDUT PANDANGAN BARAT DAN ISLAM

OLEH: SAR MASTURA BINTI ABDUL RAHMAN

1.0       PANDANGAN SOSIOLOGI DARI SUDUT PANDANGAN IBNU KHALDUN
Ibnu Khaldun merupakan tokoh sosiologi Islam. Antara karya agung Ibnu Khaldun yang membicarakan tentang kemasyarakatan adalah Mukaddimah Ibnu Khaldun yang mengupas mengenai teori ketamadunan yang kini menjadi bahan rujukan ilmuan Islam dan Barat.

Antara pemikiran Ibnu Khaldun adalah teori kemasyarakatan. Menurut beliau sebelum mengkaji lebih lanjut mengenai sesuatu masyarakat, kita perlu memahami manusia dan perbezaannya daripada hidupan lain. Manusia diangkat tinggi martabatnya berbanding makhuk sekelilingnya kerana boleh berfikir  dan  menimba pelbagai  ilmu sains serta ilmu seni. Kedua, manusia mempunyai kemahiran memerintah yang memberi peluang untuk menyediakna perlindungan serta mempertahankan keselamatan diri.

Ketiga, manusia dapat bekerjasama melalui pelbagai bentuk dan acara dalam menjalani kehidupan seperti kerjasama dalam institusi kekeluargaan , anak sentiasa membantu ibu bapa.   Seterusnya, ia berkembang kepada kerjasama anatara kaum yang akhirnya mewujudkan ciri keempat manusia yang dinamakan oleh Ibnu khaldun sebagai tamadun. Manusia memerlukan tamadun untuk memenuhi keperluan hidup mereka.

Ini termasuk tempat tinggal yang selesa di bandar dan kawan sebagai menemani hidup supaya tidak kesunyian. Semua ciri ini membezakan manusia dengan makhluk alain menurut pengamatan Ibnu Khaldun. Apabila memahami manusia, barulah kita beralih kepada pengkajian bagaimana individu dapat membina jati diri serta mempelajari budaya memalui pengalaman hidup dalam masyarakat.

Individu tidak boleh hidup dengan mengasingkan diri daripada masyarakat. Ibnu khaldun menceritakan mengenai seorang kanak –kanak yang dikurung oleh bapanya sejak lahir. Walaupun mempnyai pengetahuan luar melalui penceritaan bapanya, budak itu masih tidak mampu membayangkan dan mengimaginasikan apa yang diceritakan itu. Pengasingan daripada dunia luar itu membuatkan kanak-kanak itu tiada pengalaman berjumpa dan hidup dalam masyarakat sehingga membantutkan daya fikiran mereka. Oleh itu hidup bermasyarakat amat penting.

Menurut Ibnu Khaldun juga, beberapa faktor yang penting dalam mengumpul pengetahuan mengenai masyarakat adalah ilmu,  ilmu adalah ramuan paling asas bagi perkembangan minda manusia, terutama mengenai alam. Manusia pada asalnya jahil dan mempunyai minda yang kosong ataupun dipanggil tabula rasa mengikut Ibnu Khaldun.

Kemudian, hasil usaha menimba ilmu pengetahuan, seseorang menjadi insan yang sempurna akal fikiran dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Ilmu pengetahuan dimantapkan dengan faktor kedua iaitu nilai murni keagamaan yang mewujudkan pembangunan jati diri yang baik.

Pembangunan insan berlandaskan agama ini perlu diserapkan ke dalam personaliti individu. Proses ini dapat dilaksanakan oleh ejen yang ketiga iaitu institusi keluarga. Keluarga memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan intitusi keluarga, begitu juga golongan tua dan guru juga berperanan menjadi ejen bagi membantu menerapkan nilai-nilai murni.

Ibnu Khaldun turut memandang penting akan penguasaan bahasa sebagai medium asas untuk berkomunikasi dengan masyarakat. Bahkan muzik turut ejen sosialisasi yang terakhir bagi mengeratkan hubungan sesama manusia.[1] 

2.0       PANDANGAN SOSIOLOGI DARIPADA SUDUT PANDANGAN BARAT

Perkataan SosiologI mula digunakan oleh ahli sains sosial  Perancis iaitu Aguste Comte daripada  1798 sehingga 1857.

Berasal daripada perkataan latin iaitu sosio, sosio bermaksud  berkongsi.  Beberapa takrifan  telah diberi oleh ahli sosiologi tentang bidang disiplin yang baru ini.  Neil J. Smelser mentakrifkan  sosiologi adalah kajian sainstifik  tentang masyarakat dan hubungan sosialnya. Manakala De Fluer dan De Antonio, mentakrifkan sebagai percubaan meneliti tingkah laku manusia secara sistematik. Ia bertujuan  meramal tingkah laku tersebut dan berbuat sesuatu tentangnya.

            Manakala menurut Prof. Soediman, sosiologi adalah ilmu pengetahuan yang mempelajari mengenai gejala- gejala dalam  pergaulan  manusia . Walau apa pun takrifan yang diberiakn, namun sosiologi adalah berkaitan dengan interaksi sosial budaya, stratifikasi , birokrasi, populasi, peranan jantina, umur, tingkah laku, ekologi, politik dan kuasa minda dan norma  pembangunan dan jenayah.

            Pertubuhan sosiologi Amerika mengatakan bahawa  pembelajaran tentang kehidupan sosial serta  kesan dan akibat sosial terhadap tingkah laku manusia.  siologi meruapakan satu bidang baru jika dibandingkan dengan lain lain bidang sosial. Sosiologi juga bukan bidang sains fizikal atau sebahagian daripada bidang kemanusiaan , ia terletak ditengah-tengah antara sains kemanusiaan dan sains fizikal. Konsep ini dapat digambarkan seperti berikut: Manusia, sosiologi dan fizikal.[2]

Selain itu juga Horton berpendapat bahawa  (Horton, 1987) , sosiologi adalah suatu ilmu adalah suatu bentuk  pengetahuan yang tersusun dan diuji melalui suatu penetilian ilmiah. Maka dapatlah dirumuskan bahawa sosiologi adalah suatu ilmu sejauh mana ilmu sosiologi mengembangkan suatu bentuk pengetahuan yang tersusun dan teruji yang disasarkan oleh penelitian ilmiah. Sosiologi adalah mendasarkan sesuatu kepada bukti bukannya hanya mitos, dongeng dan angan angan.[3]     

Menurut (Schaefer, 2008), sosiologi adalah kajian saintifik terhadap tingkah laku sosial dan kumpulan manusia. Fokus utamanya adalah dalam menjayakan hubungan antara sikap dan tingkah laku manusia dan bagaimana masyarakat dibina dan perubahannya.[4]
  
3.0       KESIMPULAN
Kesimpulannya, Ibnu Khaldun merupakan tokoh sosiologi Islam yang menjadi rujukan ilmuan Islam dan Barat. Ibnu Khaldun menengahkan teori ketamadunan, bagi menjayakan teori berkenaan adalah dengan mengkaji dan memahami manusia. Ilmu pengetahuan dan nilai murni yang baik dalam agama  merupakan faktor yang penting dalam mengumpul maklumat mengenai masyarakat adalah ilmu.

Manakala, daripada sudut pandangan Barat pula adalah secara keseluruhannya sosiologi adalah merupakan satu bidang mengkaji kehidupan  masyarakat tanpa meletakkan ilmu pengetahuan dan nilai murni agama sebagai asas mengumpulkan maklumat.





[1] http://blogtraditionalislam.wordpress.com/2009/05/11 , teori -masyarakat-inbu-khaldun-jadi-rujukan-barat,  diakses pada jam 10.28 am , 24 Sept 2013.

[2]Rohana Yusuf (2006),  Asas Sains Sosial dari Perpektif Sosiologi. Ampang, Selangor: Dawana sdn. bhd,


[3]  Horton, P. B. (1987). Sosiologi. Jakarta: Erlangga.

[4] Schaefer, R. T. (2008). Sociology Matters. New York: McGraw-Hill



RUJUKAN

BUKU
Horton, P. B. (1987). Sosiologi. Jakarta: Erlangga.

Rohana Yusuf  (2006). Asas Sains Sosial dari Perpektif Sosiologi. Ampang, Selangor: Dawana sdn. bhd.

Schaefer, R. T. (2008). Sociology Matters. New York: McGraw-Hill.

ENTERNET
http://blogtraditionalislam.wordpress.com/2009/05/11teori -masyarakat-inbu-khaldun-jadi-rujukan-barat diakses pada jam 10.28 am , 24 Sept 2013

Ads Inside Post